KUALA LUMPUR 20 Julai - Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pementasan teater 'Ayah' yang akan berlangsung pada pukul 8.30 malam, 25 Julai ini di Auditorium Raja Melewar, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Sembilan.

Pementasan teater secara percuma itu dianjurkan oleh Kelab Seni Teater Guru Harapan (Seteguh) diadakan sempena Festival Teater anjuran JKKN yang berlangsung pada 22 sehingga 26 Julai depan.

Teater Ayah merupakan karya asal Moh Azam Rezali pernah dipentaskan pada 2011 kemudian diolah semula serta diarahkan oleh pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPGKPT), Bandar Enstek, Negeri Sembilan iaitu Muhammad Adli Hanis Halim dengan bimbingan pensyarah, Azerai Azmi yang bertindak selaku mentor.

Menurut Pensyarah Jabatan Sains IPGKPT, Azerai, teater aliran realisme itu bertujuan mengajak penonton untuk menyorot kisah keluarga yang porak-peranda akibat salah faham yang berlaku.

"Karya yang bakal dipentaskan oleh pelajar kampus ini ternyata mencabar kerana sebelum ini mereka sudah selesa dengan hidangan naskhah komedi atau ringan.

"Namun begitu, naskhah Ayah ini tidak terlalu berat kerana sarat dengan pemikiran sinikal untuk mengkritik masyarakat yang selalu membuat kesimpulan awal tanpa usul periksa.

"Tindakan untuk mengolah naskah ini dengan memasukkan unsur-unsur satira dalam pementasan nanti adalah wajar demi menjaga kualiti serta mesej disebalik cerita memandangkan barisan pelakon terdiri daripada pelajar baharu yang masih mentah serta sukar menterjemahkan naskhah ini sekiranya pembawaannya terlalu berat," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Kumpulan Seteguh melibatkan 17 ahli terdiri daripada pelajar IPGKPT yang berminat dan sanggup memberikan komitmen untuk berkolaborasi dalam sebuah kumpulan teater.

Selain daripada mempelajari asas lakon dan produksi, kumpulan itu juga menggunakan platform teater untuk meningkatkan skil komunikasi dan keyakinan diri mereka untuk menjadi mahasiswa dan pemimpin muda yang cemerlang.

Kumpulan yang ditubuhkan pada September 2014 dan pernah mementaskan teater Qasidah Cinta dan teater Suratan atau Kebetulan untuk Festival Teater Negeri Sembilan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Azerai yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Selangor 2015 berkata, cabaran paling besar bagi merealisasikan produksi teater tersebut adalah soal kekangan masa dalam kalangan pelakon dan tenaga produksi yang terlibat.

Tambahnya juga, pelakon-pelakon utama teater ini terpaksa membahagikan masa dengan jadual pelajaran serta kepadatan aktiviti lain di kampus. -UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/hiburan/teater-ayah-dipersembah-25-julai-ini-1.940728

Hakcipta Terpelihara @ 2024 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
Paparan terbaik menggunakan Chrome versi 124.0 ke atas & Firefox 120.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768

  • Web Traffic:
  • 2.png1.png6.png6.png5.png0.png2.png
  • Hari Ini: 2225
  • |
  • Semalam: 3308
  • |
  • Minggu Ini: 21167
  • |
  • Bulan Ini: 48870
  • |
  • Jumlah: 2166502